LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim sudah memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan DUN Sungai Kandis.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim sudah memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan DUN Sungai Kandis.
Nasharuddin Muhammad


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, hari ini, berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, semalam.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata, sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 10 pagi 9 Julai yang akan dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood.

Beliau berkata, mesyuarat itu antara lain akan membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selepas menerima rawatan di pusat perubatan itu sejak awal bulan lalu.

Allahyarham meninggal dunia pada 11.10 pagi Isnin dan meninggalkan dua isteri, Jamilah Sahak dan Rohani Satar serta enam anak.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Asar.

Mat Shuhaimi yang berasal dari Perak, tetapi menetap di Klang mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13.

Pada PRU-14 9 Mei lalu, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan yang ditukar nama kepada Sungai Kandis berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Maklum SPR kekosongan DUN Sungai Kandis'

''Tak tahu dia sakit' - Dr Wan Azizah'

'ADUN Sungai Kandis sudah tiada... [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 8:42 PM