Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Tahun ini saya beranikan diri menjual 83 jenis air pelbagai perisa di atas enam lot tapak bazar Ramadan sepanjang 60 meter," kata Suriane Abdullah, 27.

Suriane berkata, disebabkan itu mereka mendapat jolokan gerai air terpanjang di Bazar Ramadan Kuala Besut .

"Antara 83 menu air yang dijual seperti 42 balang air berperisa, 28 jenis perisa air kocok, lima jenis air boba, lima jenis jus air buah, air ABC, air laici kang serta air cendol.

"Menu pilihan antaranya, asam boi, vanilla blue, laici, koktail dan menu kegemaran pelanggan kebiasaannya air strawberi flot, keladi flot serta pelbagai perisa lain," katanya.

Katanya, tahun lalu dia hanya menjual kira-kira 30 air balang sahaja namun tahun ini memilih untuk menambah pilihan air kerana mahu memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

"Setiap hari saya akan mula melakukan persiapan membuat air dengan dibantu ibu, Rohani Hamzah, 55, serta beberapa pekerja seawal 10 pagi sehingga selesai 3 petang untuk mula dijual di bazar.

"Kira-kira 168 kilogram gula digunakan untuk membuat air pelbagai perisa serta turut menggunakan 90 beg ais bagi mengisi balang sebelum dimasukkan air berperisa," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Besut, di sini.

Suriane berkata, dia bersyukur kerana dapat memberi peluang kerja sementara kepada 15 anak muda tempatan sekitar Kuala Besut.

"Setiap air yang dijual antara RM 3 bagi saiz biasa serta RM6 untuk air float bersaiz gelas besar," katanya.

Belau berkata, ibunya juga penjual air jalanan sejak berpuluh tahun lalu dan kini daripada lima adik beradik, dua daripadanya menjadi peniaga sepenuh masa

"Saya mula berniaga di Bazar Ramadan sejak sembilan tahun lalu selepas tamat alam persekolahan kerana minat berniaga dari kecil," katanya.

Peniaga menyediakan air minuman di Bazar Ramadan Kuala Besut, Terengganu. - FOTO NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Peniaga menyediakan air minuman di Bazar Ramadan Kuala Besut, Terengganu. - FOTO NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 12:27 PM