Hafiz Ithnin

Tinggal beberapa hari lagi semua umat Islam bakal menyambut kemeriahan Aidilfitri selepas berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan. Dalam masa sama, ketika ini pasti ramai antara kita sibuk membuat persiapan terakhir meraikan hari kemenangan itu.

Menariknya di Malaysia, Aidilfitri diraikan begitu meriah dan persiapan menyambutnya juga tidak kurang menariknya apabila saban tahun dipenuhi aktiviti membeli-belah di bazar yang menyediakan pelbagai pilihan barangan.

Lebih menarik bazar yang terdapat di pelbagai lokasi seluruh negara bukan sekadar menjadi tempat membeli-belah, malah ia juga menjadi destinasi ramai pengunjung untuk bersantai menikmati kemeriahan kegiatan lain seperti persembahan muzik dan pilihan juadah makanan dijual.

Senario itu begitu sinonim dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman atau dikenali sebagai Jalan TAR tidak pernah lekang dengan kunjungan orang ramai sama ada mereka yang tinggal di sekitar ibu negara mahupun dari negeri lain.

Ketika artikel ini dibuat, seorang rakan penulis turut mengakui sanggup menyewa hotel berdekatan dengan kawasan bazar untuk memudahkan dia membeli-belah di kawasan berkenaan terutama bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

BAZAR di Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri terutama pada sebelah malam.
BAZAR di Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri terutama pada sebelah malam.

Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) Zain Azrai Rashid berkata, Malaysia mempunyai identiti bazar tersendiri berbanding negara lain kerana kepelbagaian kaum dan kepercayaan menyebabkan wujudnya aneka jenis bazar yang meriah pada musim perayaan.

“Sebenarnya di Malaysia kewujudan bazar ini bermula dengan lokasi pasar pada sebelah malam apabila ia mula berkembang selepas mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai untuk ia terus beroperasi pada setiap malam.

“Terutama pada musim perayaan kerana kita tahu seperti perayaan Aidilfitri, malam adalah waktu paling sesuai untuk orang ramai yang beragama Islam khasnya melakukan aktiviti berkenaan,” katanya.

Di Malaysia terdapat banyak bazar yang dibangunkan sama ada daripada persatuan penjaja kecil atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tapak perniagaan dimajukan usahawan kecil.

BAZAR yang dibuka hingga larut malam menawarkan pelbagai produk baru dan lama.
BAZAR yang dibuka hingga larut malam menawarkan pelbagai produk baru dan lama.

Tidak ketinggalan, bazar di Malaysia yang biasanya terletak di kawasan berhampiran kawasan bandar mempunyai elemen tinggalan sejarah selain menjadi satu daripada daya tarikan pelancong asing untuk mengunjunginya.

Zain berkata, MaTIC juga melihat dengan kedudukan kebanyakan bazar yang diwujudkan pihak tertentu banyak membantu industri pelancongan Malaysia. Khususnya dalam mempromosikan segmen pelancongan yang lain apabila seperti pelancong dapat melihat kepelbagaian jenis makanan, budaya dan tinggalan bangunan warisan.

Katanya, setakat ini belum ada lagi ejen pelancongan yang menjadikan kunjungan ke bazar tempatan sebagai salah satu aktiviti di dalam pakej pelancongan mereka dan perkara ini dilihat sebagai satu potensi baru kepada pemain industri terbabit.

PERSEMBAHAN muzik memeriahkan suasana bazar.
PERSEMBAHAN muzik memeriahkan suasana bazar.

“Jika ejen dapat meletakkan aktiviti kunjungan ke bazar sememangnya dapat memberi pelbagai manfaat kepada pembangunan industri terutama membabitkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat.

“Perkara paling penting, pelancong juga dapat melihat sendiri kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini menerusi aktiviti sampingan yang ada di dalam bazar seperti persembahan muzik,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan atau melawat bazar juga dapat memperkenalkan pelbagai juadah tempatan kepada orang ramai khasnya kepada pelancong asing untuk mencuba makanan dari pelbagai negeri di Malaysia.

GERAI makanan dan minuman tempatan antara yang boleh didapati di bazar atau pasar karat.
GERAI makanan dan minuman tempatan antara yang boleh didapati di bazar atau pasar karat.

“Jika kita lihat ketika bulan puasa umpamanya, bazar Ramadan yang ada di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia menjadi tarikan kepada orang ramai yang tidak hanya kepada masyarakat Islam.

“Ia kerana mereka yang bukan beragama Islam juga berpeluang menikmati pelbagai jenis juadah tradisional dari pelbagai negeri dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Jelasnya, aktiviti kunjungan ke bazar juga menarik kerana orang ramai bukan saja dapat melihat kepelbagaian barangan atau makanan yang dijual, malah aktiviti tawar-menawar juga boleh dilakukan bagi mendapatkan harga terbaik.

BARANGAN  lama mengimbau kenangan kepada pengunjung.
BARANGAN lama mengimbau kenangan kepada pengunjung.

Katanya, bazar juga menjadi satu daripada destinasi menarik orang ramai untuk membeli barangan antik dan terpakai dengan harga berpatutan terutama kepada pengumpul barang antik.

“Jika kita pergi ke beberapa lokasi bazar di utara terdapat lokasi yang menjual barangan lama seperti piring hitam, alatan muzik, syiling lama, perabot, keris dan lukisan yang mempunyai peminat tersendiri.

“Bagi bazar yang menjual pelbagai barangan antik ini, ia lebih dikenali sebagai pasar karat. Namun, di pasar karat pada sama turut menawarkan pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, kasut dan beg,” katanya.

Tambahnya, tidak ketinggalan, bazar juga adalah satu lokasi bagi membolehkan pengunjung mendekatkan diri mereka dengan budaya tempatan misalnya di Sabah dan Sarawak.

KOLEKSI barangan antik yang mempunyai nilai tersendiri.
KOLEKSI barangan antik yang mempunyai nilai tersendiri.

Terdapat bazar yang menjual pelbagai produk kraf dan makanan dihasilkan masyarakat asli di situ.

“Kadangkala, ketika mengunjungi bazar yang menjual barangan masyarakat tempatan, pengunjung juga dapat mendengar atau mempelajari bahasa tempatan digunakan.

“Secara tidak langsung lawatan atau kunjungan kita ke bazar bukan sekadar sebagai aktiviti membeli-belah, malah dapat mengenal kepelbagaian bahasa dan keunikan etnik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dari segi keselamatan orang ramai tidak perlu risau kerana kebanyakan bazar mempunyai pihak berkuasa yang mengawal keselamatan di kawasan berkenaan bagi memastikan tidak berlaku insiden tidak diingini.

“Perkara paling utama ialah pengunjung sendiri perlu menjaga keselamatan diri masing-masing terutama ibu bapa yang seharusnya peka dengan pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terlepas pandang,” katanya.

BARANGAN tembaga lama mudah didapati di pasar karat.
BARANGAN tembaga lama mudah didapati di pasar karat.

Lokasi popular bazar/pasar karat di Malaysia

1. Pasar Karat, Johor Bahru, Johor

2. Pasar karat Jalan Hang Lekir, Melaka

3. Pasar Karat Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor

4. Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur

5. Pasar Karat Memory Lane, Ipoh, Perak

6. Lorong Kulit, Georgetown, Pulau Pinang

7. Pasar Tamu, Kota Kinabalu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 1:18 PM