Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Bazar Ramadan di Kelantan kembali meriah dengan kehadiran pengunjung hari ini bersempena hari pertama Ramadan.

Rata-rata pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk meninjau makanan dan minuman di bazar Ramadan selepas dua tahun tidak dapat ke bazar, berikutan pandemik Covid-19.

Salah satu bazar Ramadan di Kelantan yang sering mendapat sambutan luar biasa adalah Bazar Ramadan Sultan Muhammad V berikutan gerai yang lebih banyak serta kelainan menu di lokasi berkenaan.

Tinjauan mendapati, seawal jam 2.30 petang, orang ramai sudah mengunjungi bazar Ramadan berkenaan.

Antara kedai yang mendapat sambutan luar biasa adalah kuih kuba guling, lemak lembu bakar, aneka kuih muih dan roti john.

Pengunjung, Muhd Rusmizan Johari, 39, berkata, dia antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk berkunjung di bazar Ramadan berkenaan.

Orang ramai membanjiri bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka pada hari pertama berpuasa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Orang ramai membanjiri bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka pada hari pertama berpuasa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Hari ini saya dan isteri seolah-olah melepaskan rindu selepas dua tahun tidak dapat berkunjung ke bazar Ramadan disebabkan Covid-19.

"Bazar di sini (Stadium Sultan Muhammad V) memang sentiasa dinanti-nantikan kerana kepelbagaian menu dan lokasi yang luas berbanding di tempat lain.

"Pilihan saya di sini sudah tentulah lemak lembu bakar kerana ia tiada di bazar lain. Seawal jam 3 petang kami sudah sampai di sini," katanya yang berasal dari Terengganu.

Pengunjung, Ismail Adnan, 33, turut meluahkan rasa teruja kerana dapat berkunjung ke bazar Ramadan selepas dua tahun tidak dibuka.

"Saya sendiri dapat melihat sambutan luar biasa sehingga jalan pun sesak. Saya teruja dapat melihat kepelbagaian kuih muih, lauk dan minuman di bazar," katanya.

Peniaga, Nor Hafiru Yamin, 43, bersyukur sambutan diterima amat luar biasa daripada pengunjung.

"Saya terharu kerana seawal 2.30 petang orang sudah menunggu untuk membeli lauk pauk yang saya jual. Memang sambutan menggalakkan kerana kami tidak menang tangan disebabkan ramai pengunjung.

"Alhamdulillah sambutan luar biasa ini disebabkan sudah dua tahun orang ramai tidak berkunjung di bazar Ramadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 5:59 PM