SEBAHAGIAN saudara mara kepada Siti Kharina meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik Hospital Serdang selepas melawat jenazah mangsa, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
SEBAHAGIAN saudara mara kepada Siti Kharina meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik Hospital Serdang selepas melawat jenazah mangsa, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Hidayah Bahaudin


“ARWAH seorang sangat baik, malah kebaikannya turut diakui rakan sekerjanya,” kata sepupu kepada Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, 40, yang ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Cyberjaya, semalam.

Menurut sepupunya, Ali Azizan Mohd Salleh, 40-an, dia mengetahui kejadian menimpa Siti Kharina pada hari ini, selepas menerima mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga mereka berhubung perkara itu.

“Saya dapat tahu mengenai penemuannya pagi tadi, melalui perkongsian mesej dalam kumpulan WhatsApp sebelum bergegas ke hospital ini.

“Kali terakhir saya bertemunya ketika majlis perkahwinan saudara pada November tahun lalu. Dia (Siti Khairina) seorang yang sangat baik.

“Malah, kebaikannya turut dirasai rakan sekerjanya yang bertugas sebagai jururawat di hospital ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, Serdang, hari ini.

Ali berkata, jenazah Siti Kharina akan dibawa ke Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Menurutnya, dia difahamkan proses bedah siasat dilakukan pada 12 tengah hari sebelum selesai pada 3.30 petang hari ini.

“Sebaik urusan bedah siasat dan lain-lain selesai, jenazahnya akan dibawa ke Kampung Tengah untuk dikebumikan selepas Asar nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan sekerja Siti Kharina yang enggan dikenali memaklumkan dia mengetahui mengenai kejadian menimpa mangsa, pagi hari ini.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan rakan sekerja lain mengenai perkara itu (kematian Siti Khairina). Saya mengenalinya sejak dia mula bertugas di wad perubatan di hospital ini lima tahun lalu.

“Sepanjang perkenalan kami, dia seorang yang baik dan periang menyebabkan dia disukai rakan sekerja,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi tempat tinggal Siti Khairina, jururawat itu memaklumkan tidak mengetahui perkara itu (tinggal di rumah sewa).

“Kebanyakan masa, kami berjumpa ketika waktu bertugas saja. Mengenai lokasi tempat tinggalnya (di luar hospital), saya tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat Siti Kharina ditemui dengan kesan kelar di bahagian dada dan leher di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya, petang semalam.

Berita berkaitan

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 5:16 PM