ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Padas Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu ketika waktu berbuka puasa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Padas Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu ketika waktu berbuka puasa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Junaidi Ladjana


DEMI tugas, sepasukan 23 anggota dan pegawai bomba dan penyelamat hanya minum air mineral sahaja untuk berbuka puasa, hari ini.

Mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu terbabit operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Padas, Tebobon, Menggatal.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, panggilan kecemasan diterima pada 6.04 petang dan empat jentera termasuk kenderaan Emergency Medical Rescue Service (EMRS) dan sebuah lori tangki air digerakkan.

“Pasukan tiba di lokasi pada 6.25 petang dan ketika itu sudah hampir waktu berbuka puasa. Beberapa penduduk kampung sempat menghulurkan air mineral untuk anggota beragama Islam berbuka puasa.

“Manakala beberapa anggota lain pula terus bertindak memadam kebakaran bagi mengelak ia merebak ke rumah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Affendi berkata, api berjaya dikawal pada 6.36 petang dan sebuah rumah musnah sepenuhnya.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat pada 7.42 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:57 PM