ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran empat kediaman di Kampung Limbawan, Keningau. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran empat kediaman di Kampung Limbawan, Keningau. FOTO Ihsan Bomba.
Junaidi Ladjana


EMPAT keluarga di Kampung Limbawan, Jalan Durok, Keningau, tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran membabitkan empat kediaman petang tadi.

Ketika kebakaran 3.30 petang beberapa penghuni dikatakan sedang menyediakan hidangan untuk berbuka puasa, namun terpaksa keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada 3.35 petang.

Beliau berkata, susulan itu 18 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tony Sipin, bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati empat rumah sedang terbakar dan anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran membabitkan empat kediaman termasuk dua rumah dua tingkat yang terbakar 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mudi berkata, setakat ini tidak ada mangsa dilaporkan cedera, sementara itu punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada 5.58 petang tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:30 PM