ANGGOTA BBP Tikam Batu sentiasa memastikan peralatan dalam keadaan baik dan tiada masalah berkhidmat di waktu berbuka serta sahur. FOTO Nor Farhani Che Ad
ANGGOTA BBP Tikam Batu sentiasa memastikan peralatan dalam keadaan baik dan tiada masalah berkhidmat di waktu berbuka serta sahur. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


BERBUKA puasa sekadar dengan air mineral. Itu situasi yang pernah dilalui Pegawai Bomba Noorjohaimi Johari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Sungai Petani ketika bertugas di bulan Ramadan.

Anggota bomba berusia 36 tahun itu berkata, pengalaman terbabit berlaku ketika beliau sedang menyertai operasi pemadaman kebakaran sebuah kilang ketika berkhidmat di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

Lebih mencabar apabila panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima ketika beliau bersama pasukannya baru sahaja pulang daripada memadam kebakaran sebuah lagi kilang yang mengambil masa kira-kira empat jam untuk dipadamkan.

“Kami terima panggilan kebakaran yang kedua ketika hampir waktu berbuka puasa.

“Tanpa berlengah, kami terus bergegas ke lokasi kejadian tanpa membawa sebarang makanan.

“Ketika tiba waktu berbuka puasa, kami hanya minum air mineral yang terdapat di dalam jentera dan meneruskan operasi seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, tidak sempat bersahur atau terlewat berbuka puasa adalah perkara biasa bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berikutan tugasan menyelamat dilakukan tanpa mengira waktu.

Namun, katanya, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat pasukan itu untuk memberikan yang terbaik seperti hari biasa.

Rakan sekerjanya, Wan Ahmad Wan Sulaiman berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menyertai operasi kebakaran membabitkan rumah sebuah keluarga yang berlaku pada awal pagi beberapa tahun lalu.

“Kejadian itu berlaku ketika dua hari sebelum umat Islam meraikan Aidilfitri membuatkan kami begitu simpati dengan nasib keluarga terbabit apabila persiapan hari raya mereka musnah.

“Kami cuba memberikan yang terbaik sehingga kami terlupa untuk bersahur namun hampir keseluruhan barangan di rumah itu tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota bomba BBP Tikam Batu, Abdul Rahim Abdul Hamid berkongsi pengalaman berbuka puasa selepas jam 9 malam ketika menyertai operasi kemalangan maut membabitkan sebuah treler terbalik kira-kira empat tahun lalu.

“Panggilan diterima kira-kira jam 7 malam membuatkan pasukan bergegas keluar tanpa membawa sebarang makanan mahu pun minuman.

“Memandangkan tiada juadah berbuka, kami meneruskan operasi sehingga selesai dan kami berbuka puasa selepas tiba di balai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:52 AM