FOTO Brody Morgan sebelum dan selepas kejadian. FOTO Agensi
FOTO Brody Morgan sebelum dan selepas kejadian. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Seorang remaja autistik mungkin buta selepas seorang rakannya didakwa membaling serbuk pencuci ke matanya, lapor portal Mirror.

Perkara itu didedahkan dalam prosiding satu kes di mahkamah Texas, baru-baru ini.

Brody Morgan, 18, dari Texas, berjalan bersama dua rakan lain melalui pinggir bandar Houston, apabila gurauan antara mereka bertukar menjadi insiden buruk.

Polis mendakwa ia berakhir dengan Branden Jolly, 17, membaling bahan kimia ke arah mangsa.

Ketiga-tiga remaja itu pulang ke rumah ibu mangsa dengan Brody jelas mengalami kecederaan mata. Tetapi mereka cuba menyembunyikan bahan yang digunakan dalam kejadian itu.

Ibu mangsa, Amy Morgan berkata, individu autistik tidak selalu tahu cara membuat pilihan rakan yang baik.

Amy cuba membuang bahan kimia dari mata Brody dengan air dan garam tetapi tidak berhasil. Dia kemudian membawa anaknya ke hospital.

Polis berkata, pada masa kejadian, tiga remaja itu mencuri bungkusan bekas berisi bahan serbuk putih dan membaling bahan berkenaan.

Salah seorang membuang bahan itu ke arah Morgan dan ia mengenai mata mangsa.

Menurut dokumen mahkamah, di hospital, Morgan dirawat di unit melecur kerana kerosakan kimia pada muka dan matanya.

Doktor kemudiannya mendapati bahan kimia itu digunakan untuk masalah longkang tersumbat.

Polis kemudian menahan remaja berusia 17 tahun yang menyimbah bahan itu ke mata mangsa dan dia berdepan tuduhan jenayah kerana mencederakan orang kurang upaya.

Tidak diketahui sama ada Brody akan pulih daripada kecederaan itu atau berapa lama masa yang diambil kerana doktor menyifatkan mangsa melecur teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:13 AM