FOTO ihsan JPAM Sabah
FOTO ihsan JPAM Sabah
Oleh Junaidi Ladjana


Kota Belud: Sebuah blok menempatkan bilik dan pejabat Sekolah Agama Negeri (SAN) Kota Peladok, Kota Belud, musnah terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana murid di sekolah berkenaan sedang bercuti hujung minggu.

Ketua Pusat Gerakan (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan pada 3.47 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota JPAM Kota Belud.

"Kebakaran membabitkan bangunan sekolah jenis tidak kekal iaitu satu blok kelas dan pejabat sekolah musnah sepenuhnya.

"Api berjaya dikawal pada 4.33 petang," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:37 PM