ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat bayi perempuan masih bertali pusat di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian, Ipoh, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman.
ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat bayi perempuan masih bertali pusat di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian, Ipoh, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman.
Farah Suhaidah Othman


MAYAT bayi perempuan bertali pusat dengan tubuhnya dibaluti sehelai tuala ditemui di dalam bakul di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian, Ipoh, hari ini.

Difahamkan, mayat itu ditemui orang awam pada 1.50 tengah hari dan usia kelahirannya masih belum diketahui, namun dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam dan mendapati mayat bayi berkenaan diletakkan dalam bakul berwarna biru.

Katanya, mayat bayi berkenaan ditemui dalam keadaan berbalut sehelai tuala di dalam bakul itu di kawasan longgokan sampah berkenaan.

“Pemeriksaan turut mendapati tali pusat bayi berkenaan masih belum tertanggal, namun polis belum dapat mengesahkan anggaran usia bayi.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan bayi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mazuki berkata, setakat ini, anggota forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mayat bayi berkenaan akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan suspek terbabit dalam kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:44 PM