Seorang pencari barang terpakai menunjukkan tempat mayat bayi yang ditemui. FOTO Razik Zayad
Seorang pencari barang terpakai menunjukkan tempat mayat bayi yang ditemui. FOTO Razik Zayad
Razik Zayad


SEORANG pengutip sampah terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan yang dibalut plastik alas meja dan tuala merah di tapak pelupusan sampah, Jalan Langkon, Kota Marudu, kira-kira 3 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, mayat itu ditemui lelaki yang sedang mencari barang terpakai di tapak pelupusan sampah berkenaan.

"Pengadu dikatakan melihat alas meja di bawah timbunan sampah lalu menarik plastik berkenaan.

"Pengadu kemudian membuka lipatan plastik itu dan terdapat tuala merah. Dia kemudian terkejut apabila melihat mayat bayi yang masih mempunyai uri dan tali pusat.

"Berikutan itu, pengadu kemudian memanggil rakannya sebelum menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya ketika dihubungi.

Mohd Izaan berkata, siasatan ke atas pemandu dan pekerja lori sampah Majlis Daerah Kota Marudu mendapati mereka memunggah sampah di kawasan pekan Langkon.

"Mayat dihantar ke Hospital Kota Marudu dan hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan fizikal pada bayi terbabit," katanya.

Beliau berkata, punca kematian belum dapat dipastikan kerana perlu pemeriksaan pakar forensik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 5:06 PM