PENGERUSI Ahli Lembaga Pelawat Rumah Sinar Pelangi, Mizma Appehdullah (tengah), meraikan ulang tahun kelahiran dan berbuka puasa bersama penghuni OKU. Foto ihsan pembaca.
PENGERUSI Ahli Lembaga Pelawat Rumah Sinar Pelangi, Mizma Appehdullah (tengah), meraikan ulang tahun kelahiran dan berbuka puasa bersama penghuni OKU. Foto ihsan pembaca.
Mohd Izham Unnip Abdullah


IBU bapa yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu memastikan anak mereka tidak dibiarkan tersisih atau disembunyikan di rumah tanpa perhatian sewajarnya, termasuk aspek pendidikan untuk golongan berkenaan.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Sinar Pelangi, Mizma Appehdullah, berkata anak OKU juga perlu diberikan pendidikan berdasarkan kemampuan masing-masing bagi membina kemahiran sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan.

Beliau berkata, setiap ibu bapa bertanggungjawab mengenal pasti potensi anak mereka lebih-lebih golongan OKU bagi memastikan mereka juga dapat menikmati kehidupan seperti golongan normal yang lain.

“Ibu bapa jangan malu dan berasa rendah diri untuk menyatakan bahawa mereka mempunyai anak OKU kerana kadang-kadang golongan ini lebih hebat daripada kita golongan biasa.

“Kemungkinan juga anak ini lebih hebat anugerah dia dari Tuhan tapi kita tidak pernah mencuba untuk mencungkil bakat mereka kerana tidak tahu di mana tempat sepatutnya mereka dihantar lebih-lebih lagi selepas tamat persekolahan,” katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada penghuni keluarga OKU dan meraikan ulang tahun kelahiran penghuni di pusat penjagaan OKU Rumah Sinar Pelangi, Lahad Datu, Sabah, semalam.

Turut hadir Pengetua Rumah Sinar Pelangi, Sharil Sari dan penghuni rumah serta ibu bapa yang mempunyai anak OKU.

Rumah Sinar Pelangi baru diwujudkan dua tahun lalu dan kini mempunyai empat penghuni OKU.

Mizma berkata keluarga atau ibu bapa yang mempunyai anak OKU tidak perlu malu untuk mendaftar golongan istimewa itu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebaliknya ia perlu supaya golongan OKU dapat diberikan perhatian termasuk soal pendidikan.

“Ibu bapa tidak perlu segan mendaftar anak OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka perlukan bimbingan dan pendidikan kerana ada pendidikan yang khusus untuk mereka sama ada di sekolah harian biasa atau di Pusat Dalam Komuniti (PDK).

Mizma yang juga Pengerusi Rakan Kembar Malaysia cawangan Sabah turut meminta masyarakat setempat supaya tidak menyisihkan golongan OKU.

Katanya, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan golongan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang seperti individu lain dalam semua aspek kehidupan.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam pembangunan komuniti OKU supaya golongan berkenaan boleh berdikari. Kerajaan sentiasa menggalakkan individu atau badan yang boleh membantu dan menyumbang kepada golongan istimewa ini demi menyerlahkan lagi potensi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:13 AM