PENGAGIHAN bubur kepada pengunjung One Borneo.
PENGAGIHAN bubur kepada pengunjung One Borneo.
PROSES membungkus bubur untuk diagihkan kepada orang ramai.
PROSES membungkus bubur untuk diagihkan kepada orang ramai.
AHLI RKM Sabah bergambar kenangan pada majlis pengagihan bubur secara pandu lalu.
AHLI RKM Sabah bergambar kenangan pada majlis pengagihan bubur secara pandu lalu.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Pengagihan bubur ayam dan lambuk secara pandu lalu kepada pemandu kenderaan di pekarangan pusat membeli-belah One Borneo Hypermall baru-baru ini berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Program anjuran Rakan Kembara Malaysia (RKM) Sabah itu turut mendapat kerjasama syarikat Adabi Sabah dan pengurusan Grand Borneo Hotel yang mengagihkan 1,000 bekas bubur.

Daripada jumlah bubur yang diagihkan, sebanyak 500 bekas bubur ayam sumbangan RKM Sabah manakala selebihnya disumbangkan Grand Borneo Hotel.

Pengerusi RKM Sabah, Mizma Appedullah berkata, program yang julung kali diadakan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada masyarakat setempat.

Katanya, inisiatif itu juga dilihat dapat memberi kemudahan kepada pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan untuk berbuka puasa di rumah masing-masing.

“Program pengagihan bubur secara pandu lalu ini adalah aktiviti baru yang kami rancang pada tahun ini bagi mengimarahkan bulan Ramadan selain memudahkan pemandu kenderaan berbuka puasa dalam kereta ketika kesesakan.

“Kaedah ini juga dilihat lebih berkesan kerana dapat menjimatkan masa selain mengelak daripada berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bubur ayam dan lambuk kepada pengguna kenderaan di sekitar pusat beli-belah One Borneo, di sini, baru-baru ini. Hadir sama pada program itu Naib Pengerusi RKM Sabah Musliati Moslimin.

Program yang bertemakan Indahnya Ramadan itu turut dibantu 20 ahli RKM Sabah dari proses memasak sehingga pengagihan bubur kepada orang ramai.

Mizma berkata, sukarelawan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menyiapkan bubur berkenaan. Satu kumpulan memasak bubur di rumah salah seorang ahli RKM dan satu kumpulan lagi berganding bahu bersama pihak hotel.

“RKM berterima kasih kepada Adabi Sabah yang menyumbangkan bahan memasak bagi menjayakan aktiviti mulia ini,” katanya.

Menurutnya, selepas empat jam ‘bermain’ di dapur, bubur lambuk dan ayam akhirnya sedia untuk dimasukkan ke dalam bekas dan diagihkan.

Selain mengagihkan bubur kepada pemandu kenderaan, pihaknya turut menyampaikan bubur kepada pengunjung pusat beli-belah One Borneo.

“Berdasarkan sambutan yang diterima daripada pemandu dan orang ramai yang ditemui, kami bercadang menyambung aktiviti ini pada tahun hadapan.

“Kami gembira kerana Adabi Sabah dan pengurusan hotel bersetuju untuk terus bekerjasama dengan kami melaksanakan program ini pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mizma berkata, pihaknya turut mengadakan aktiviti Ziarah Kasih pada setiap tahun untuk menyalurkan bantuan berupa hamper kepada 10 orang penerima asnaf di Kampung Gudon Menggatal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 12:25 PM