DAYANA membantu ibunya berniaga di gerai di hadapan rumahnya.
DAYANA membantu ibunya berniaga di gerai di hadapan rumahnya.

JOHOR BAHRU: “Alhamdulillah... Dayana tidak lagi malu walaupun tanpa hidung. Setiap kali saya menjual juadah berbuka puasa di gerai hadapan rumah, dia akan membantu,” kata ibu kanak-kanak istimewa, Lina Awang, 39.

Lina memaklumkan bersyukur dengan perubahan sikap anaknya, Nurdayana Mohd Zaini, lapan tahun, yang kini lebih matang dan tidak malu bersemuka dengan orang ramai berbanding sebelum ini.

Menurutnya, antara faktor perubahan sikap Dayana adalah ahli keluarganya, guru dan beberapa rakan baik di Sekolah Kampung Maju Jaya yang sentiasa memberikan semangat kepada anaknya itu.

“Kini dia faham dan menerima dirinya. Dia bijak berkawan dengan rakan yang memahami dan menerima dia seadanya.

“Saya kerap menasihatinya supaya tidak merendah diri dan banyak memberi perhatian kepada pelajaran. Keputusannya juga tidak menghampakan dan antara mata pelajaran digemari adalah Matematik.

“Atas faktor kesihatan, Dayana tidak boleh bersukan mahupun berpuasa walaupun dia memang mahu berpuasa seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Lina berkata, Dayana rajin membantunya berniaga burger sebelum ini selain menyatakan hasrat menolongnya berniaga dadih dan puding jagung sepanjang Ramadan.

Menurutnya, keluarganya hanya menyambut Ramadan dengan ala kadar berikutan peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu.

“Selain Dayana, kakaknya berusia 14 tahun dan abangnya berusia 15 tahun masih belajar dan masing-masing memerlukan perbelanjaan sekolah.

“Bagi kami persekolahan mereka lebih penting. Selain bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori, saya dan anak-anak sentiasa berusaha mencari pendapatan sampingan termasuk mengusahakan gerai burger.

“Berkaitan pembedahan Dayana yang dicadangkan apabila dia remaja kelak, kami masih menunggu panggilan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:10 AM