Antara pendatang asing tanpa izin yang ditahan PPM semalam. FOTO Ihsan PPM.
Antara pendatang asing tanpa izin yang ditahan PPM semalam. FOTO Ihsan PPM.
Muhammad Apendy Issahak


CUBAAN 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai mahu pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri menggunakan laluan tidak sah digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Perak dalam serbuan di kawasan paya bakau Parit 14 Baroh, Hutan Melintang semalam.

Dalam Op Landai dijalankan PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Sitiawan membabitkan Unit Risikan Marin, bot ronda PSC 16 dan dengan kerjasama anggota Balai Polis Hutan Melintang serta Rungkup itu berjaya memberkas semua PATI warga Indonesia terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Kampung Achech, Deputi Superintendan, Jafri Ahmad berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat mengenai PATI yang dipercayai cuba keluar untuk pulang ke kampung mereka.

“Hasil serbuan 29 lelaki ditahan bersama 12 wanita dan dua kanak-kanak yang semuanya warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 29 daripada warga asing berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri tetapi sudah tamat tempoh manakala 14 yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya hari ini.

Menurutnya, semua warga asing berkenaan dipercayai ingin pulang ke Indonesia melalui jalan tidak diwartakan dengan diuruskan oleh sindiket penyeludupan PATI.

“Semua yang ditahan dirampas pasport dan kemudian dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 5 (a) dan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:20 PM