ANGGOTA polis mengawal PATI warga Indonesia yang ditahan dalam hutan pesisir pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA polis mengawal PATI warga Indonesia yang ditahan dalam hutan pesisir pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan PPM
Ibrahim Isa

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang, Johor menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika cuba pulang ke negara asal menggunakan laluan haram di kawasan hutan pesisiran pantai Pulau Hijau Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

Komandernya Asisten Komisioner Paul Khiu berkata, bertindak atas maklumat dan intipan, sepasukan anggota PPM melakukan empat serbuan Ops Landai di kawasan terbabit bermula jam 2 tadi.

"Ketika serbuan dilakukan, kami menemui sekumpulan lelaki bersembunyi di dalam hutan bagi menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan.

"Hasil pemeriksaan, kesemua 20 lelaki berkenaan tiada sebarang dokumen perjalanan sah dan dibawa ke Balai Polis Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kesemua lelaki berusia 20-an hingga 50-an disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati mereka dipercayai sedang menunggu bot pancung di dalam hutan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:43 AM