PATI yang ditahan anggota penguat kuasa di Hutan Pantai Punggai malam tadi. FOTO ihsan PPM
PATI yang ditahan anggota penguat kuasa di Hutan Pantai Punggai malam tadi. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang bayi di Hutan Pantai Punggai, Sungai Rengit, di sini, malam tadi.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua Johor Superintendan Shaari Ariffin berkata, dalam Op Landai yang dijalankan bermula 8 malam itu, pihaknya menahan kumpulan PATI itu terdiri daripada 43 lelaki, empat wanita dan seorang bayi lelaki.

"Semua yang ditahan berusia antara sembilan bulan hingga 49 tahun dan mereka mengaku secara lisan ingin pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Operasi dijalankan hasil maklumat risikan terhadap aktiviti penyeludupan manusia yang menggunakan jalan laut," katanya.

Beliau berkata, kumpulan PATI itu dikesan bersembunyi dalam hutan sejak dua hari lalu dan tidak diberi makan oleh kumpulan sindiket sepanjang tempoh menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

Katanya, semua PATI itu dibawa pulang ke Balai Polis Bandar Penawar sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 11:28 AM