Syeikh Azhari menunjukkan nasi bungkus bersama minuman yang ditinggalkan kaki ponteng puasa di pondok rehat di kaki Gunung Keriang dan menyoal lelaki yang dicekup makan di sebuah kedai makan bukan Islam berhampiran Stadium Darulaman dalam Ops Bersepadu di Alor Setar, hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Syeikh Azhari menunjukkan nasi bungkus bersama minuman yang ditinggalkan kaki ponteng puasa di pondok rehat di kaki Gunung Keriang dan menyoal lelaki yang dicekup makan di sebuah kedai makan bukan Islam berhampiran Stadium Darulaman dalam Ops Bersepadu di Alor Setar, hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“AWAS, geng plastik hitam...kami tahu lokasi panas anda,” begitulah amaran Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) terhadap golongan ponteng puasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JAIK Syeikh Azhari Mohamad berkata, pihaknya berharap supaya umat Islam yang kerap ponteng puasa dan menjadi ‘geng plastik hitam’ supaya meninggalkan perbuatan itu.

Menurutnya, pihaknya sudah mengesan beberapa lokasi yang dipercayai menjadi `port’ kaki ponteng puasa makan atau minum sepanjang Ramadan ini.

“Kalau boleh kita nak mencegah perbuatan kaki ponteng puasa ini daripada terus melakukan kegiatan itu (tidak puasa) sedangkan budak tadika pun boleh berpuasa penuh.

“Sepatutnya golongan ini (kaki ponteng puasa) malu kerana kebanyakan mereka ada yang sudah berusia tetapi tanpa segan silu makan di khalayak ramai termasuk di kedai bukan Islam dengan memberi pelbagai alasan,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu, hari ini.

Syeikh Azhari berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi bukan saja di Alor Setar, malah di semua daerah di negeri itu dalam usaha untuk mencegah orang ramai dari meninggalkan puasa.

Menurutnya, pihaknya akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima dari orang awam selain pemeriksaan di kedai makan yang disyaki menjadi tumpuan golongan itu untuk makan secara sembunyi.

“Dalam operasi hari ini, kita membuat pemeriksaan termasuk di kedai makan bukan Islam dan mengenakan saman terhadap tiga individu berusia lingkungan 30-an di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini.

“Mereka yang disaman akan disiasat mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 4:32 PM