Zuliaty Zulkiffli


NASI bungkus dan teh o ais dalam plastik hitam berharga RM5. Itu pakej hidangan sebuah kedai makan di Kuala Sungai, Alor Setar yang jadi tarikan kaki ponteng puasa, sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, ia terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), hari ini.

Nasi bungkus berlaukkan seketul ayam goreng dan kuah kari dikatakan laris dalam kalangan golongan itu yang akan menempah sejak 10 pagi lagi.

Dari luar, kedai makan berkenaan bertutup, namun di bahagian dalamnya ada urus niaga khas untuk golongan tidak berpuasa.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua pelanggan cuba menghampiri premis untuk membeli makanan tetapi lari bertempiaran sebaik menyedari kehadiran JAIK.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, pihaknya turut menemui nasi bungkus yang disorokkan di bawah meja di dalam premis itu.

Sebelum itu katanya, operasi membabitkan 25 anggota itu dilaksana selepas mendapat aduan orang awam dan pemeriksaan dibuat di enam lokasi.

“Selain Kuala Sungai, lokasi serbuan di sekitar Gunung Keriang, Mergong dan beberapa kawasan lain yang disyaki ‘port’ golongan tidak berpuasa.

“Kita dapati masih ada peniaga kedai makan yang membuka premis mereka pada awal pagi dengan menjual nasi bungkus dalam plastik hitam dipercayai untuk golongan itu.

“Mereka diberi amaran supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan akan dikenakan saman sekiranya masih berdegil,” katanya ketika ditemui sejurus operasi.

PENGUAT KUASA JAIK menunjukkan harga nasi bungkus yang dijual di sebuah kedai makan dalam operasi di Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
PENGUAT KUASA JAIK menunjukkan harga nasi bungkus yang dijual di sebuah kedai makan dalam operasi di Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Beliau berkata, dalam operasi itu, dua premis didapati melanggar peraturan kerana menjalankan perniagaan lebih awal dan sejak awal Ramadan lalu, lima saman sudah dikeluarkan terhadap individu tidak puasa.

“Tahun lalu, 12 saman dikeluarkan bagi tempoh sama. Penjualan nasi bungkus pula mungkin untuk wanita uzur, warga emas dan mereka yang berhak tidak puasa, tetapi kaki ponteng ambil kesempatan,” katanya.

Menurutnya, kesalahan boleh disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa dan Seksyen 14 (b) enakmen sama kerana makan dan minum atau menghisap rokok di khalayak ramai ketika Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:04 PM