Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Penjaja makanan dihukum penjara satu hari dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeret seekor anjing betina yang diikat rantai menggunakan motosikal dalam kejadian November tahun lalu.

Tertuduh, Tan Chee Keong, 45, membuat pengakuan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dialek Hokkien di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa secara tidak wajar melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan iaitu menyeret seekor anjing betina baka mongrel di permukaan lantai jalan dengan seutas rantai sepanjang 182 sentimeter (cm) menggunakan motosikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sukun Indah, Taman Sukun Indah, di sini, jam 12.06 tengah malam pada 21 November, tahun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 44(1) (d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 44(1) Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Anas Hakimi.

Semasa prosiding, Anas merayu supaya mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya memandangkan ia adalah kesalahan pertama dan pengakuan awal tertuduh menjimatkan masa mahkamah.

Katanya, tertuduh juga insaf dan menyesal atas perbuatannya itu, selain trauma susulan berdepan dengan pertuduhan berkenaan hingga tidak berniaga selama dua bulan yang menyebabkan dia kehilangan pendapatan.

Selain itu, tertuduh turut menjaga isterinya yang lumpuh dan menyara anak berusia lapan tahun serta berharap denda berbentuk khidmat masyarakat dikenakan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan memandangkan ia adalah kes tular dan mengambil kira kebajikan haiwan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM12,000 terhadap tertuduh serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, jiran tertuduh sedang berusaha mengumpul dana untuk membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:26 PM
TAN Chee Keong hadir atas kesalahan menyeret seekor anjing di atas jalan dengan motosikal didakwa mengikut Subseksyeb 44(1)(d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam. FOTO Danial Saad
TAN Chee Keong hadir atas kesalahan menyeret seekor anjing di atas jalan dengan motosikal didakwa mengikut Subseksyeb 44(1)(d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam. FOTO Danial Saad