BERNAMA

Kuching: Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 30 sebatan kerana merogol anak tirinya yang kini berusia 17 tahun, hari ini dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah bagi satu lagi tuduhan merogol mangsa yang sama.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap penjawat awam berusia 54 tahun awam itu selepas dia mengaku bersalah bagi tuduhan ketiga, iaitu merogol anak tirinya pada 10 pagi, 3 Januari 2017, di sebuah rumah di Batu Lintang di sini.

Bagaimanapun, tertuduh mengubah pengakuannya kepada tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan melakukan kesalahan sama pada 1 dan 2 Januari tahun ini di tempat yang sama.

Sebelum itu, hakim, timbalan pendakwa raya dan jurubahasa mahkamah terpaksa berulang kali bertanya dan menjelaskan kepada tertuduh mengenai tiga tuduhan yang dikenakan terhadapnya selepas tertuduh yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah.

Dia memberitahu mahkamah tarikh pertuduhan pertama dan kedua iaitu 1 dan 2 Januari lalu, tidak benar kerana pada masa itu dia berada di rumah bersama isteri dan anak-anaknya.

Ketika prosiding kes berkenaan sebelum ini, tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan hari ini ditetapkan untuk hukuman.

Dayang Ellyn Narisa kemudian menetapkan 16 Februari untuk pengurusan kes bagi dua pertuduhan berkenaan.

Dengan penambahan hukuman itu, bermakna keseluruhan tempoh hukuman penjara tertuduh adalah 78 tahun dan 35 sebatan kerana sebelum ini Mahkamah Sesyen lain menjatuhkan hukuman penjara 60 tahun dan 30 sebatan selepas dia mengaku bersalah bagi tiga tuduhan merogol anak tirinya itu antara Januari dan Disember 2015 serta 4 dan 5 Januari tahun ini, di lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:50 PM