HAIZUM (kanan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh selepas dikenakan PKW selama dua jam setiap hari bagi tempoh tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dan permainan di sebuah pasar raya, Februaari lalu. FOTO Mohd Hilmie Hussin.
HAIZUM (kanan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh selepas dikenakan PKW selama dua jam setiap hari bagi tempoh tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dan permainan di sebuah pasar raya, Februaari lalu. FOTO Mohd Hilmie Hussin.
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG ibu anak tiga diperintah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama dua jam sehari untuk tempoh tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dan permainan di sebuah pasar raya, pada Februari lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim selepas tertuduh, Haizum Hassan, 28, membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berkerja sebagai pembantu jualan di Pasaraya AEON Ayer Keroh, didakwa sebagai orang digaji berniat curang mencuri dua LS Shirt, sehelai kemeja-T Diadora dan satu kotak alat permainan Tableware bernilai RM176 milik majikannya iaitu Pasaraya AEON Co (M) Berhad, pada 10.30 malam 24 Februari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada 10.30 malam pada hari kejadian, pengadu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Pasaraya AEON Ayer Keroh memeriksa badan tertuduh sebelum menemukan sebuah beg jaring yang di dalamnya mengandungi dua beg kecil.

Pemeriksaan lanjut ke atas beg terbabit menemukan tiga baju milik AEON Ayer Keroh dan satu kotak mainan yang belum dibuat pembayaran.

Pengadu kemudian membuat laporan polis pada 11.16 malam hari sama di Balai Polis Bukit Baru.

Terdahulu ketika prosiding berjalan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan memohon untuk tidak dipenjarakan kerana mempunyai tiga anak berusia enam, lima dan dua tahun, selain anak kecilnya masih menyusu badan dan kini sudah dibuang kerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin mencadangkan kepada mahkamah untuk mengambil kira fakta kes dan barang yang dicuri tertuduh bukan barang keperluan harian.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin memerintahkan tertuduh menjalani PKW di PKW Jabatan Penjara Malaysia, Melaka Tengah, selama dua jam setiap hari bagi tempoh tiga bulan.

“Sekiranya gagal hadirkan diri ke PKW Melaka Tengah, hukuman penjara dan denda boleh dijatuhkan ke atas anda,” kata Muhammad Nazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:22 PM