TERTUDUH diiringi polis keluar dari mahkamah selepas nafi mencuri di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH diiringi polis keluar dari mahkamah selepas nafi mencuri di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah selepas didakwa mencuri 68 jenis barangan di sebuah pasar raya termasuk barangan basah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh M Sarawanan, 35, didakwa mencuri 68 pelbagai barangan berjumlah RM1,720 milik Pasaraya AEON Bandaraya Melaka, kira-kira jam 10.45 malam pada 5 Februari lalu.

Antara barangan dicuri ialah ikan Jenahak berharga RM47, Bawal Hitam (RM24), Norway Salmon fillet (RM39.90), ketam bunga (RM41.40), sotong panjang (RM16.80), dua seluar Polo kanak-kanak (RM278), tiga baju bayi Tiny Button (RM53. 70), baju Hush Puppies (RM131. 93), kunci silinder (RM47. 07), coklat Kinder Bueno, buku tulis, lampin pakai buang, pelbagai perencah, cecair pencuci dan pisau pemotong.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan RM5,000, namun tertuduh diwakili peguam T Gajendran merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang isteri yang baru bersalin kira-kira dua bulan lalu, tiga anak masih kecil selain ibu dan bapanya dengan pendapatan sebagai pemandu lori hanya kira-kira RM3,000 sebulan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Majistret Mohd Firdaus Saleh menawarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 18 April depan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 2:33 PM