MOHD Hafiz diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
MOHD Hafiz diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan seorang tukang rumah membela diri atas dakwaan membunuh abang kekasihnya yang juga kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Mohd Hafiz Mohamad, 32.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini, jam 11.30 pagi pada 16 Oktober 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah akan mendengar keterangan pembelaan tertuduh pada 13, 14 dan 15 Mei depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Akhbar sebelum ini melaporkan niat seorang lelaki membuka rahsia perkahwinan kekasih adiknya bagi mengelak adiknya dimadukan bertukar tragedi apabila mati ditikam di kawasan tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri dipercayai menggunakan pisau oleh suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:01 AM