Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Safuan Ramli, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Terdahulu, Hassan dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan mengatakan tertuduh membunuh tanpa niat kerana mendengar suara namun mahkamah berpendapat tertuduh waras ketika melakukan perbuatan itu.

"Semasa suara menyuruhnya menikam ibu dan abangnya, tertuduh tidak menikam dan tidak menurut arahan suara itu selain melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu.

"Mahkamah berpendapat tertuduh waras dan tahu perkara itu salah di sisi undang-undang.

"Kisah ini tidak dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa pendakwaan selain dia juga tidak dipaksa mengambil dadah.

"Tertuduh gagal membuktikan dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nurhafiya Aufa Mohd Taquddin yang ketika kejadian berusia tiga tahun di sebuah rumah di Felda Cherul 2 di Kemaman, 1 tengah hari pada 27 Januari 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Muhamad Yasser Mohd Nasri, manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 3:43 PM
Tertuduh, Mohd Safuan Ramli,30, dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tertuduh, Mohd Safuan Ramli,30, dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY