GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan ketua pegawai eksekutif dan penasihat syarikat pembekalan bagi membantu siasatan berhubung kes memberi suapan kepada penguat kuasa sebuah kementerian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit, pada 2017.

Sumber berkata, ketua pegawai eksekutif bergelar Datuk Seri berusia 49 tahun itu ditahan 5.30 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan, manakala penasihat syarikat bergelar Datuk berusia 55 tahun pula ditahan 11.30 pagi di Dutamas Raya, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu bersubahat untuk membayar wang suapan kepada penguat kuasa dari sebuah kementerian sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan tidak sah sekitar Julai 2017,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan suruhanjaya itu akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Putajaya, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:32 PM