Siti A’isyah Sukaimi


PEMILIK syarikat direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.

Perintah reman ke atas suspek lelaki bergelar Datuk Seri berusia 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Syah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, suspek ditahan jam 11.05 malam tadi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan.

Berikutan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Pada masa sama, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang sebelum ini direman bagi kes berkenaan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Baru-baru ini, media melaporkan CEO dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat swasta ditahan SPRM disyaki menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara.

Sumber dilaporkan berkata, CEO bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima wang suapan membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan itu bernilai lebih RM17 juta.

Sebelum ini, CEO lelaki berusia 45 tahun dan CFO wanita berusia 53 tahun dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber dipetik berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 12:02 PM
PEGAWAI SPRM membawa suspek bergelar Datuk Seri ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
PEGAWAI SPRM membawa suspek bergelar Datuk Seri ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor