Siti A'isyah Sukaimi


DUA pegawai kanan syarikat pembekalan bergelar Datuk dan Datuk Seri direman empat hari berhubung kes memberi suapan kepada penguat kuasa sebuah kementerian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Perintah reman terhadap dua individu terbabit dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, bermula hari ini sehingga 29 April.

Semalam, penasihat syarikat bergelar Datuk berusia 55 tahun itu ditahan jam 11.30 pagi di Dutamas Raya, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita syarikat berkenaan bergelar Datuk Seri berusia 49 tahun pula ditahan jam 5.30 petang di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, selepas hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu bersubahat untuk membayar wang suapan kepada penguat kuasa dari sebuah kementerian.

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan tidak sah sekitar Julai 2017.

Berikutan itu, siasatan terhadap kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di sini pada pukul 9.20 pagi dengan tangan bergari dan berbaju lokap SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:38 PM