Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang lelaki warga Singapura kerana memberi wang rasuah RM100 kepada seorang pegawai penguat kuasa imigresen, petang hari ini.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek memberi wang rasuah kepada pegawai terbabit sebanyak RM100 sebagai balasan untuk membenarkan beliau memasuki semula Malaysia dengan menggunakan Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Singapura seperti yang ditetapkan.

Program RGL ialah program yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara.

Lelaki berusia 43 tahun itu bertugas sebagai seorang pengarah di sebuah syarikat swasta ditahan pada 3.50 petang di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 10:35 PM