Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita mata wang asing beberapa negara termasuk Afrika bernilai RM100,000 dari kediaman pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bergelar Datuk di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), semalam.

Sumber SPRM berkata, pihaknya turut menyita beberapa dokumen bayaran dan syarikat berkaitan dengan siasatan di pejabat suspek di Bukit Jalil dan Bangsar South.

Katanya, beberapa individu sudah dirakam percakapan dan akan ada lagi dipanggil untuk bantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan maklumat berkenaan.

Pagi tadi, Datuk itu bersama seorang pengurus pemasaran antarabangsa GLC terbabit direman enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan salah guna kuasa serta aktiviti rasuah berkaitan projek pasport elektronik (e-Pasport) di Afrika.

Semalam, SPRM menahan pemangku CEO terbabit di kediamannya di Tropica Indah, Petaling Jaya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum menahan pengurus pemasaran antarabangsa syarikat itu di Taman Desa, Jalan Klang Lama.

Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti itu sejak 2013 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 3:18 PM