GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad


KEGIATAN seorang lelaki yang menjadikan rumah sewa sebagai pusat operasi aktiviti Macau Scam terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Cyberjaya, Jumaat lalu.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam serbuan 7.10 malam hasil risikan dan maklumat awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berperanan sebagai penerima nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk urusan kemasukan wang ke dalam akaun.

“Dia kemudian memberikan nombor TAC itu kepada pihak sindiket berkenaan selain ditugaskan menyimpan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan telefon bimbit diperoleh ahli sindiket lain.

“Suspek turut membantu ahli sindiket lain untuk melakukan pindahan wang secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rudy berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis merampas beberapa barangan digunakan suspek termasuk 56 keping kad bank, 23 unit telefon bimbit, 13 keping kad sim dan komputer riba.

Beliau berkata, polis mengesyaki terdapat beberapa lagi ahli sindiket masih belum ditahan dan kondominium itu menjadi salah satu tempat untuk sindiket berkenaan menjalankan operasi.

Katanya, suspek dibawa ke IPD Dang Wangi dan direman selama empat hari sehingga esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:44 PM