HANYA berbekalkan komputer riba, mesin pencetak, penyembur cat, berus warna, lampu pengimbas dan roller span untuk membuat duit palsu.
HANYA berbekalkan komputer riba, mesin pencetak, penyembur cat, berus warna, lampu pengimbas dan roller span untuk membuat duit palsu.
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

BERBEKALKAN komputer riba, mesin pencetak, penyembur cat, berus warna, lampu pengimbas dan roller span, sindiket wang palsu mampu mencetak wang tunai dalam not RM100 dipercayai sehingga ratusan ribu ringgit yang dilakukan di kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini.

Mereka itu dipercayai sudah menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Aktiviti mencetak wang palsu itu bagaimanapun berakhir apabila rumah yang menjadi sarang pencetakan diserbu sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 2 petang, Sabtu lalu.

Harian Metro difahamkan kegiatan itu terbongkar apabila rakan kepada suspek utama membayar makanan menggunakan wang palsu itu di sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, Jumaat lalu.

Menurut sumber, susulan disyaki menggunakan wang palsu, pengurus restoran berkenaan melaporkan kepada pengawal keselamatan sebelum lelaki berusia 36 tahun itu ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 28 keping wang palsu dalam not RM100 sebelum suspek diserahkan kepada polis,” katanya.

Sumber itu berkata, tindakan susulan dilakukan JSJK IPD Dang Wangi kemudian menahan tiga lagi suspek termasuk suspek utama.

Memperincikan lanjut, sumber itu berkata, suspek pertama yang ditahan membawa polis ke sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail jam 8.15 malam sehari selepas itu.

“Ketika serbuan seorang lelaki berusia 22 tahun berada dalam premis dan pemeriksaan menemui pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak, botol penyembur cat serta beberapa peralatan disyaki digunakan bagi mencetak wang.

“Anggota polis turut menemui lebih 200 keping kertas bercetak RM100 dengan pelbagai nombor siri yang dipercayai palsu,” katanya.

Difahamkan, dua lagi ahli sindiket termasuk suspek utama berjaya ditahan JSJK IPD Dang Wangi dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 10:00 AM