KEADAAN sebahagian bilik di SK Sempang, Merlimau yang musnah dalam kebakaran, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN sebahagian bilik di SK Sempang, Merlimau yang musnah dalam kebakaran, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nur Saliawati Salberi


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Sempang, Merlimau, diarahkan tutup selama dua hari pada esok dan Jumaat susulan empat bilik di blok bangunan dua tingkat itu terbakar, hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari, berkata pengumuman itu hanya membabitkan 192 murid dan tidak termasuk 24 guru sekolah berkenaan.

“Saya mengisytiharkan cuti kecemasan bagi semua murid di sekolah ini supaya tidak perlu hadir selama dua hari, tetapi guru perlu datang.

“Empat bilik musnah dalam kebakaran itu membabitkan bilik guru, bilik guru penolong kanan, pejabat pentadbiran dan sebahagian kecil bilik guru besar.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan apabila nampak asap di belakang bangunan pada 5.40 petang dan dia menghubungi guru besar sebelum memaklumkan kepada pihak bomba," katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku berikutan ketika itu sudah tamat sesi persekolahan sebelah pagi.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Rohaya Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan BBP Jasin Bestari bersama 20 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik bomba tiba, api sudah marak lebih 60 peratus dan kebakaran membabitkan pejabat pentadbiran, bilik guru besar, bilik penolong kanan serta bilik guru.

“Kepantasan pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak dan memusnahkan bilik lain.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 6.21 petang sebelum padam sepenuhnya 15 minit kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:27 PM