KEADAAN seorang bayi lelaki yang ditemui Jemaah Masjid yang mahu menunaikan solat subuh pagi tadi dalamkejadian kira-kira jam 5.45 pagi sebelum dimaklumkan kepada bilal yang bertugas di Masjid Ar-Rahman Parit Gantung, Sungai Rambai. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN seorang bayi lelaki yang ditemui Jemaah Masjid yang mahu menunaikan solat subuh pagi tadi dalamkejadian kira-kira jam 5.45 pagi sebelum dimaklumkan kepada bilal yang bertugas di Masjid Ar-Rahman Parit Gantung, Sungai Rambai. FOTO Ihsan Polis
Nur Saliawati Salberi


BAYI lelaki ditemui masih hidup dalam keadaan berbalut dengan kain di dalam kotak di Masjid Ar-Rahman Parit Gantung, Sungai Rambai, Melaka, pagi tadi.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui jemaah wanita yang hendak menunaikan solat Subuh, sebelum memaklumkan perkara itu kepada bilal yang bertugas, 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati bayi yang cukup sifat itu ditinggalkan di ruang masjid bersama botol dan bungkusan susu tepung.

Beliau berkata, bayi yang tidak berpakaian dan hanya dibalut kain berwarna gelap itu kemudian di bawa pulang ke rumah bilal berkenaan untuk dibersihkan, sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Rambai dan dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan mendapati, bayi dipercayai berbangsa Melayu ini berada dalam keadaan sihat dan berusia antara satu hingga tiga hari.

"Selain itu, tali pusatnya juga sudah dipotong dan diikat menggunakan riben. Bayi ini kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dimaklumkan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 3:28 PM