FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

ISI rumah atau keluarga adalah penyumbang terbesar kepada keseluruhan 16,650 tan pembuangan sisa makanan di negara ini setiap hari, kata Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Azrina Sobian.

Beliau berkata, keluarga menghasilkan sisa makanan paling tinggi 38 peratus berbanding pasar basah (24 peratus), restoran (23 peratus) atau hotel (tujuh peratus).

“Secara purata sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang membazirkan hampir satu kilogram makanan setiap hari.

“Pembaziran makanan di Malaysia adalah serius dan perlu ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘Kerangka Islami Dalam Usaha Pengurangan Sisa Makanan’ pada Persidangan Meja Bulat Pengurangan Sisa Makanan: Ke Arah Kesepaduan Usaha Bersama anjuran IKIM hari ini.

Azrina berkata, trend pembuangan sisa makanan meningkat 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan dan Ramadan.

Justeru, persidangan meja bulat ini menjadi platform pelbagai pihak untuk menggembleng usaha bagi mengatasi masalah itu.

Antara usaha sedang dilakukan ialah Projek Pengurangan Sisa Makanan melalui program intervensi berasaskan agama dijalankan IKIM bersama beberapa agensi lain termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Projek selama dua tahun bermula Januari lalu menunjukkan pengurangan 28 peratus sisa makanan di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan sehingga Mac lalu.

Ia menggunakan pendekatan agama Islam kepada 150 komuniti yang terbabit untuk tidak melakukan pembaziran dan didedahkan dengan cara betul bagi mengurangkan pembuangan sisa makanan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, 3,330 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari sepatutnya boleh dielakkan jika masyarakat bijak mengurus dan mengurangkan sisa makanan.

“Antara punca utama penghasilan sisa makanan yang tinggi ialah membeli secara berlebihan, penyimpanan makanan tidak sempurna dan faktor gaya hidup mewah.

“Bagi mengelak pembaziran, masyarakat perlu tahu kaedah mengurangkan sisa makanan seperti merancang sebelum membeli serta memasak mengikut kuantiti yang betul bagi setiap isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif dilakukan SWCorp bagi mengurangkan pembaziran makanan terutama pada Ramadan ialah bekerjasama dengan peniaga bazar Ramadan dengan mengagihkan makanan yang tidak terjual kepada golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:13 PM