LAPORAN portal Harian Metro mengenai  insiden letupan di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Kota Tinggi.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai insiden letupan di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Kota Tinggi.
Nurul Amanina Suhaini


“MASIH menanti jawapan,” kata penduduk, Ko Siew Seng, 43, antara yang terjejas susulan insiden letupan dan kebakaran di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Ko berkata, selepas membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, pihaknya masih belum dimaklumkan perkembangan mengenai perkara itu, sama ada keadaan penduduk selamat atau sebaliknya.

“Pemeriksaan pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba sudah dijalankan, saya faham ia makan masa.

“Bagaimanapun, kami perlu tahu apa perkembangan terkini adakah selamat untuk tinggal di sini.

“Kami (penduduk) tetap berharap akan ada jalan penyelesaiannya. Buat masa ini, apakah status kita, adakah kita selamat atau tidak. Bagaimana masa depan kita,” katanya.

Sementara itu, pemerhatian di laman sosial mendapati, sehingga kini tiada lagi status panik membabitkan insiden berkenaan dimuat naik penduduk sekitar Pengerang, Desaru dan Kota Tinggi.

Rata-rata kenyataan yang dikeluarkan netizen hanya dakwaan insiden berkenaan dikaitkan mempunyai unsur politik, namun tiada mangsa insiden memuat naik sebarang kenyataan.

Dalam kejadian 1.25 pagi jumaat lalu, paip di RAPID terbakar menyebabkan berlaku letupan kuat hingga menggegarkan kawasan seluas lebih 30 kilometer hingga ke sekitar Pasir Gudang.

Bagaimanapun, pasukan kecemasan dan kebakaran PETRONAS berjaya memadamkan api dalam tempoh 30 minit selepas kejadian.

Dua pengawal keselamatan dikatakan cedera ringan dalam kejadian itu dan mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan:

  • Polis terima 84 laporan letupan RAPID
  • 2 cedera letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang
  • Petronas sahkan berlaku letupan
  • 2 cedera letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang
  • Saksi rasa gegaran di Pengerang
  • Penduduk terjejas sila hubungi DUN Tanjung Surat
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:18 PM