SUASANA susulan berlaku letupan di dalam kawasan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang. FOTO Hairul Anuar Rahim
SUASANA susulan berlaku letupan di dalam kawasan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


ORANG ramai dinasihatkan tidak panik dengan kejadian letupan dan kebakaran di satu lot tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, hari ini.

Ia berikutan letupan dan kebakaran yang berlaku hanya membabitkan paip dan bukannya tangki seperti yang ditularkan sesetengah pihak.

Malah, insiden itu hanya membabitkan kurang satu peratus daripada keseluruhan keluasan 8,000 hektar projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya sudah mengadakan lawatan dan mendengar taklimat daripada Petronas selama kira-kira 30 minit bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu.

Beliau berkata, pengesahan diterima termasuk tiada kebocoran gas dan bacaan kehadiran gas berbahaya di udara menunjukkan tanda negatif.

“Kita tahu, orang ramai takut jika berlaku pencemaran gas berbahaya, tetapi difahamkan bacaan negatif dan selamat. Tiada ancaman seumpama itu.

“Harap orang awam faham dengan keadaan ini dan jangan panik. Macam-macam gambar tular, ada gambar orang pakai penutup mulut dan hidung, jadi orang luar ingat inisden ini seperti pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, tetapi tidak,” katanya pada sidang media di Kota Tinggi, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Jimmy berkata, punca sebenar kebakaran mungkin akan diperolehi antara dua hingga tiga hari lagi, malah pihaknya tidak mahu memberi sebarang komen berhubung keadaan pelaburan negeri susulan insiden itu.

“Petronas masih melakukan siasatan bila sah apa punca kebakaran itu, baru saya akan komen mengenai pelaburan. Apa yang hendak kita pastikan sekarang, semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, kerajaan mengucapkan syabas kepada Petronas yang mana Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Rapid, Pengerang berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 30 minit selepas insiden berlaku.

“Mereka terus bertindak dan dapat menutup kebocoran paip, maka pembakaran pun berhenti terus. Jika tangki yang meletup, mungkin ia akan ambil masa yang lama untuk dikawal,” katanya.

Kejadian yang berlaku di Pakej 2, RAPID membabitkan letupan dan kebakaran turut dirasai penduduk sekitar yang merasa gegaran iaitu Kampung Lepau, Taman Rengit Jaya dan Kampung Sungai Kapal.

Berita berkaitan:

  • 2 cedera letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang
  • Petronas sahkan berlaku letupan
  • 2 cedera letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang
  • Saksi rasa gegaran di Pengerang
  • Penduduk terjejas sila hubungi DUN Tanjung Surat
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 3:15 PM