AHLI Persatuan Penyelam Profesional Semporna membuat laporan polis malam tadi. FOTO ihsan Semporna Professional Divers Association
AHLI Persatuan Penyelam Profesional Semporna membuat laporan polis malam tadi. FOTO ihsan Semporna Professional Divers Association
Olivia Miwil


PERSATUAN Penyelam Profesional Semporna, mahu tindakan segera diambil terhadap jurulatih menyelam yang didakwa mencabul dua pelancong China, bulan lalu.

Pengerusinya, Abdul Razak Ismail berkata, tindakan terhadap jurulatih terbabit bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki yang disebut dalam laporan berita sebelum ini bukan ahli persatuan berkenaan.

“Kita sudah membuat laporan polis malam tadi berhubung laporan media salah laku terhadap pelancong dalam kalangan ketua penyelam dan jurulatih.

“Ini bagi mengekalkan reputasi baik dan imej profesional penyelam terutama dari Semporna,” katanya, di sini.

Sebelum ini, dua wanita dari Shenzhou, China, mendakwa jurulatih terbabit menyentuh bahagian sensitif badan mereka ketika sesi menyelam, dikatakan berlaku di perairan Semporna, bulan lalu.

Abdul Razak yang juga jurugambar bawah air profesional, berkata pihaknya turut menyediakan laporan rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (MOTAC) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menerima surat berkaitan laporan itu dan sedang menyiasat kes berkenaan.

“Jika bukti menunjukkan kes itu benar-benar berlaku, kita akan menyerahkannya kepada pihak berkaitan yang mengeluarkan lesen ketua penyelam. Lesennya mungkin akan dibatalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 1:01 PM