Penyelam menyelam bersama baju Melayu dan baju kurung. FOTO Ihsan Persatuan Penyelam Profesional Semporna
Penyelam menyelam bersama baju Melayu dan baju kurung. FOTO Ihsan Persatuan Penyelam Profesional Semporna
Olivia Miwil


SAMBUTAN hari raya tidak menghalang sekumpulan pakar selam dan jurulatih bekerja seperti biasa.

Ini kerana industri menyelam yang semakin berkembang di Semporna menyebabkan tempahan untuk aktiviti air penuh sepanjang cuti Aidilfitri.

Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Abdul Razak Ismail berkata, tempahan untuk aktiviti air di Sipadan, Mataking serta beberapa pulau lain penuh ketika musim cuti ini.

Katanya, kebanyakan pengunjung adalah dari China dan Eropah yang membuat tempahan untuk menyelam serta selam skuba.

“Ahli kami perlu mengikut giliran mengambil cuti untuk menyambut hari raya. Sepanjang hari, kami berada di dasar laut.

“Tahun ini kami buat kelainan dengan memakai baju Melayu ketika menyelam,” katanya sambil menambah baju tradisional itu boleh dipakai di dalam air dan tidak menjejaskan daya apung mereka.

Abdul Razak berkata, dengan cara itu juga, mereka boleh berkongsi suasana perayaan dan budaya dengan pelancong.

Katanya, ada antara penyelam dari negara Eropah turut memakai baju kurung ketika menyelam bersama mereka selepas mengetahui rancangan persatuan itu memakai pakaian tradisi.

“Hari ini (hari kedua Aidilfitri), ada ahli persatuan membawa kuih raya dan makanan lain.

“Kami gembira berkongsi makanan dengan penyelam lain terutama dari negara lain supaya mereka boleh belajar budaya kita,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Razak menggesa kebajikan penyelam yang bekerja ketika cuti umum diambil perhatian terutama daripada segi bayaran tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 8:10 PM