Ariffin Abu Bakar menunjukkan tabung masjid yang dipecahkan.
Ariffin Abu Bakar menunjukkan tabung masjid yang dipecahkan.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Penjenayah yang menceroboh Masjid Kariah Desa Anggerik di sini, pagi semalam untuk mencuri wang berputih mata kerana ketiga-tiga tabung derma yang dipecahnya kosong.

Difahamkan, ahli jawatankuasa masjid mengeluarkan wang tabung derma berkenaan pada setiap malam.

Bendahari masjid Nasarudin Zainal, 52, berkata, kejadian itu disedari bilal yang tiba untuk menunaikan solat Subuh, jam 5.15 pagi semalam.

“Bilal terkejut mendapati semua tabung dipecahkan. Dia melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu bilik imam turut diumpil namun penjenayah gagal masuk.

“Ia mungkin perbuatan penagih dadah yang terdesak mendapatkan wang mudah. Carilah rezeki halal dan bukannya dengan cara ini,” katanya.

Nasarudin berkata, pihaknya akan berbincang sama ada mahu membuat laporan polis atau sebaliknya kerana ia kejadian pertama dan tiada barangan berharga hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 9:49 AM