Mohd Khidir Zakaria


Rembau: Muazin terkejut apabila mendapati tabung Masjid Kariah Tanah Datar, Chengkau, di sini, dipecahkan pencuri dipercayai dilakukan awal pagi Jumaat lalu.

Bagaimanapun, muazin itu, Hamzah Mohamad, 63, berkata, dia berharap agar lelaki yang melakukan perbuatan itu tampil dan memohon maaf.

Menurutnya, video kejadian itu tular dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki tidak memakai pelitup muka sedang memecah tabung masjid.

Katanya, video berdurasi dua minit enam saat ditularkan beberapa ahli jawatankuasa masjid selepas kejadian itu berlaku pada 11 September lalu.

"Mungkin pelaku dalam keadaan tidak tentu arah, ada masalah rumah tangga atau dia perlukan wang untuk belanja.

"Dia boleh minta maaf dengan pihak masjid dan kita akan cari jalan penyelesaian tanpa mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, pada bulan lalu ada juga kes kecurian duit tabung masjid dan difahamkan pelakunya sudah ditangkap di Johor baru-baru ini.

Hamzah berkata, pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu berlaku pada waktu siang.

"Kami hanya menyedari kejadian itu semasa ingin mengutip duit tabung selepas waktu Isyak dan mendapati mangga sudah dipecahkan.

"Saya tidak tahu berapa jumlah wang yang dicuri tetapi apa yang penting sekarang ini, pihak masjid harap pelaku datang dan kita berbincang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihaknya belum menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:13 PM