Kemalangan di KM233.6, Lebuhraya PLUS, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Kemalangan di KM233.6, Lebuhraya PLUS, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENUNGGANG motosikal maut selepas diheret sejauh dua kilometer (km) oleh kereta dalam kemalangan di Kilometer 233.6, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Pedas Linggi, Rembau, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, Muhammad Hairi Che Pa, 35, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki GSX maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum dia terjatuh di tengah jalan.

"Ketika itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang melalui laluan sama melanggar mangsa lalu mengheretnya sejauh dua kilometer.

"Pemandu MPV berusia 50 tahun itu dipercayai tidak menyedari dia melanggar mangsa dan hanya berhenti apabila mendapati kenderaannya bergerak perlahan seolah-olah tersangkut pada sesuatu.

"Dia terkejut apabila mendapati mangsa berada di bawah kenderaannya dan segera menghubungi talian kecemasan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Anuar Bakri berkata, bomba dan ambulans dihantar ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mangsa yang beralamat di Taman Bukit Beruang Utama, Melaka, sudah meninggal dunia.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 12:18 PM