NORWATI (kanan) bersama Mohamad Amirull. FOTO arkib NSTP
NORWATI (kanan) bersama Mohamad Amirull. FOTO arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“Kami terlalu sedih mengetahui Amirull dilarikan dan dipaksa melakukan kerja berat,” kata Norwati Md Yusop, 48, mengenai anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Norwati berkata, Mohamad Amirull Johari, 26, hilang dari rumahnya di Kampung Masjid Tanah, Chembong, Rembau pada 29 September lalu sebelum ditemui di sebuah surau usang yang tidak lagi digunakan di Melekek, Melaka, 15 hari kemudian.

Dakwanya, Mohammad Amirull yang lembam dan bermasalah pembelajaran dipercayai dipaksa bekerja sebagai buruh kasar dan diarah membancuh simen serta mengecat rumah bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

“Selepas ditemui penduduk tempatan berusia 40-an di surau itu pada 14 Oktober lalu, Amirull yang tidak tahu menggunakan telefon bimbit segera dihantar pulang.

“Amirull memberitahu dia dibawa dua lelaki ke Melekek untuk bekerja dengan dijanjikan gaji RM500 sebulan. Dia kemudian disuruh tinggal di surau lama itu bersendirian dan terpaksa menguruskan diri sendiri.

“Setiap hari ada orang datang membawanya ke tapak pembinaan dan menghantarnya pulang ke surau itu selepas kerja,” dakwanya ketika ditemui NSTP di Rembau, hari ini.

Menurutnya, sepanjang 15 hari kehilangannya, mereka terlalu bimbang dan berusaha mencarinya di sekitar Rembau, Melaka, Bangi dan Putrajaya namun tidak berhasil.

“Kami membuat laporan polis dan mencuba kaedah alternatif namun tetap tidak menemuinya malah pencarian polis dan bomba di kawasan kaki bukit di Rembau pada 10 Oktober lalu, selepas menerima maklumat awam, juga tidak berhasil,” dakwanya.

Katanya, abangnya, Johari Md Yusop, 52, yang juga bapa kepada Mohd Amirull sudah membuat laporan polis mengenai penemuan anaknya dan bercadang membuat laporan kedua supaya polis menyiasat kegiatan sindiket terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi mengesahkan penemuan Mohd Amirull namun enggan mengulas lanjut berkaitan dakwaan kewujudan sindiket terbabit.

Akhbar ini pada 10 Oktober lalu melaporkan, jiran mendakwa melihat Mohd Amirull mengikut dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal sebelum dia dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:41 PM