SURI rumah, Noraidaliza Md Desa, 42, (tengah) yang menghidap kanser rahim tahap satu menunjukan surat doktor mengenai penyakit yang dihidapinya di Taman Indera Sempurna, Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
SURI rumah, Noraidaliza Md Desa, 42, (tengah) yang menghidap kanser rahim tahap satu menunjukan surat doktor mengenai penyakit yang dihidapinya di Taman Indera Sempurna, Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


“SAYA tidak sangka, pendarahan teruk yang dialami ketika usia kandungan mencecah 36 minggu adalah simptom saya menghidap barah rahim,” kata suri rumah, Noraidaliza Md Desa, 42, yang menghidap barah rahim tahap satu sejak dua tahun lalu.

Ibu kepada 11 anak itu berkata, sebelum ini dia tidak mengalami apa-apa simptom menghidapi penyakit berkenaan malah tidak berasa sakit.

“Pada usia kandungan memasuki 36 minggu, saya mengalami pendarahan dan ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), doktor memaklumkan pendarahan itu bukan disebabkan proses bersalin sebaliknya berpunca daripada masalah lain.

“Hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan ada ketumbuhan di bahagian atas rahim dan ketumbuhan itu sudah pecah sehingga menyebabkan pendarahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indera Sempurna, di Kuantan, hari ini.

Katanya, dia terpaksa bersalin secara pembedahan pada hari yang sama kerana doktor bimbang keadaannya itu akan memberi kesan kepada anak di dalam kandungannya.

“Ketika itu doktor ada ambil sedikit sampel ketumbuhan itu dan hasil ujian mengesahkan saya menghidap barah rahim tahap satu.

“Selepas 35 hari bersalin, saya sekali lagi menjalani pembedahan bagi membuang rahim untuk mengelak sel barah itu merebak,” katanya.

Noraidaliza berkata, selain menghidap barah rahim, dia juga mengalami penyakit batu karang sehingga terpaksa menggunakan tiub untuk membuang air kecil.

“Suami saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori untuk menjaga saya dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Keadaan itu menyebabkan kami hilang punca pendapatan, sewa rumah juga sudah tertunggak selama dua bulan kerana kami sekeluarga tidak mampu untuk membayarnya,” katanya.

Katanya, enam anaknya masih lagi bersekolah dan memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan segala keperluan mereka.

Noraidaliza berkata, mereka sekeluarga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) sebanyak RM800 sebulan dan zakat sebanyak RM1,500 untuk setahun.

“Bagaimanapun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga setiap bulan.

“Kini suami saya sedang mencari kerja berhampiran dengan rumah bagi memudahkan dia pulang jika saya memerlukannya,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Noraidaliza di talian 014-9306407 atau terus ke dalam akaun Maybank (156012512847) atas nama Noraidaliza Md Desa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 2:32 PM