Dr Streram menunjukkan gambar yang tular susulan dakwaan beliau memiliki banglo mewah di Klang. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Dr Streram menunjukkan gambar yang tular susulan dakwaan beliau memiliki banglo mewah di Klang. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram menafikan memiliki banglo mewah bernilai RM7.8 juta seperti tular di media sosial hari ini.

Sebaliknya, doktor pakar bius itu berkata, langsung tidak pernah melihat atau tahu siapakah pemilik banglo terbabit sehinggalah beliau dituduh sebagai pemiliknya.

“Tuduhan itu palsu, mana ada kolam renang dalam rumah saya dan rumah itu tiada apa-apa kaitan dengan saya.

“Saya tak tahu itu rumah siapa dan yang pasti ia bukan rumah saya. Tapi kalau ada orang nak hadiahkan rumah seperti itu saya terimalah,” katanya sinis ketika ditemui selepas berkempen di Taman Angsamas, Rembau hari ini.

Hari ini tular di media sosial beberapa keping gambar banglo mewah bernilai RM7.8 juta dilengkapi kolam renang di Klang, Selangor yang didakwa milik calon PKR itu.

Mengulas lanjut, Dr Streram berkata, tuduhan yang tersebar itu mungkin ada kaitan dengan tindakannya semalam yang meminta calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan dakwaan beliau memiliki rumah banglo di Seremban 2 dengan rekaan seni bina rumah Minangkabau.

“Semalam saya bangkitkan rumah itu untuk Tok Mat (Mohamad) jelaskan tapi saya tak tuduh dia (pemilik). Jadi hari ini mungkin orang lain nak tuduh saya pula ada rumah,” katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu berkata, beliau sudah meminta jentera parti membuat laporan polis mengenai tuduhan terbabit.

“Masa berkempen cuma tinggal tiga hari jadi saya mahu menggunakan waktu yang terhad ini untuk menemui pengundi dan bukannya melayan perkara lain yang tidak penting,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:05 PM