KHALID melancarkan logo KLWBC2020 di PWTC. Turut hadir, Ibrahim (tiga kanan). FOTO Hafiz Sohaimi
KHALID melancarkan logo KLWBC2020 di PWTC. Turut hadir, Ibrahim (tiga kanan). FOTO Hafiz Sohaimi
Redzuan Muharam


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah 119 tapak niaga di bazar Ramadan Jalan Raja sebagai tambahan kepada 225 lot yang diperuntukkan sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, jumlah itu menjadikan bilangan keseluruhan lot niaga kini sebanyak 344 iaitu lebih banyak berbanding di lokasi asal di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Khalid berkata, proses pengundian tapak bazar berkenaan bakal diadakan pada 16 April ini.

“Apa yang disuarakan, kita dengar dan ambil kira. Jadi, selepas berbincang, kita ambil keputusan menambah 119 petak lagi yang mana undian akan dilakukan pada 16 April nanti.

“Pada masa sama, saya mahu tegaskan di sini yang kita bukan mahu mematikan persatuan kerana tetap relevan cuma tidak mahu ada yang menjadi orang tengah saja.

“Walaupun tidak memberi petak seperti kuota dahulu, persatuan diberi hak menjalankan kerja pengurusan di bazar Ramadan ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Ibrahim Yusof dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salahuddin Abang Shakeran

Pada majlis berkenaan, Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta logo KLWBC 2020, Sin Boon Seang yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Khalid berkata, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan dikenal pasti dan hanya lima daripadanya akan diuruskan oleh DBKL iaitu Jalan Raja, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Jalan Telawi, Taman Sri Rampai dan Taman Dato Senu.

Sementara bakinya akan diserahkan kepada persatuan peniaga dan penjaja kecil untuk diuruskan dan mereka boleh mengenakan caj perkhidmatan tambahan tetapi bayaran sewa petak masih diuruskan DBKL.

“Di laman web DBKL sudah disenaraikan 55 kawasan terbabit untuk rujukan rasmi, “katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, selain menyediakan tambahan lot niaga di bazar Ramadan Jalan Raja, sebanyak RM1.7 juta turut diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur di lokasi berkenaan.

“Tambahan lot niaga itu disediakan untuk keselesaan peniaga terbabit dan pengunjung.

“Bilangan itu lebih banyak berbanding di tapak asal dan diharap ia dapat meredakan keadaan selain menyelesaikan masalah sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:05 PM