Jalan TAR akan dibuka semula kepada semua pengguna jalan raya bermula Sabtu ini. Foto Eizairi Shamsudin
Jalan TAR akan dibuka semula kepada semua pengguna jalan raya bermula Sabtu ini. Foto Eizairi Shamsudin
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan memutuskan membuka semula Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur bermula Sabtu ini kepada semua pengguna jalan raya bagi memberi kemudahan kepada orang awam beli-belah barangan keperluan Aidilfitri.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pembukaan sementara laluan itu hingga Julai ini dibuat selepas berbincang dengan Persatuan Penjual Batu Road (BARA) dan Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA).

“Mereka memberi maklum balas positif mengenai pembukaan sementara laluan itu.

“Oleh kerana ini bulan puasa, mereka menjangkakan jualan akan meningkat, jadi mereka mohon supaya jalan berkenaan dibuka pada hari minggu untuk orang ramai beli- belah,” katanya ketika sidang media selepas majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Jalan TAR pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April bagi menjadikannya sebagai kawasan pejalan kaki bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Khalid berkata, keputusan itu juga dibuat bagi membolehkan pihaknya mencari alternatif lain bagi memindahkan perniagaan di Lorong Gombak dan Lorong TAR ke satu lokasi lain yang lebih bersesuaian.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi lengang di Bazar Ramadan Jalan Raja, Kuala Lumpur, Khalid berkata, beliau yakin jualan di bazar itu akan meriah pada pertengahan Ramadan dan menjelang Syawal.

“Kebiasaannya jualan akan meningkat pada minggu kedua Ramadan dan hujung minggu, jadi kita tunggu dan lihat.

“Kita tidak mahu ada laporan negatif mengenai tapak baru itu kerana bukan mudah mahu mempromosikannya berikutan pengunjung sudah terbiasa di tapak lama,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tapak baru bazar Ramadan itu mendapat pelbagai reaksi daripada peniaga dan pengguna kerana kemeriahannya tidak dirasai seperti suasana di Jalan TAR.

Bazar yang menyediakan lebih 300 tapak perniagaan itu menyebabkan Jalan Raja terpaksa ditutup satu lorong kepada lalu lintas bagi membolehkan perniagaan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:15 PM