Jalan TAR dari Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Jalan TAR dari Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini. FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

LALUAN sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di Kuala Lumpur dari pusat beli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata,

penutupan jalan satu kilometer itu dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan terbabit.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan itu yang mana sebahagian besar responden bersetuju dengan cadangan itu.

“Kita berhasrat menjadikan laluan bermula dari hadapan Sogo sehingga ke Wisma Bandar sebagai laluan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ yang mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah,” katanya pada sidang media selepas majlis Bicara Makan Tengah Hari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau berkata, jika keadaan berjalan lancar, pihaknya sedia untuk menempatkan peniaga bazar perayaan yang memohon lesen berniaga di Jalan TAR dari DBKL untuk beroperasi di sepanjang laluan yang dikosongkan itu pada Ramadan ini.

Beliau berkata, laluan yang boleh menempatkan sehingga 200 lot tapak perniagaan itu juga akan dibenarkan untuk beroperasi pada musim perayaan lain.

“Kita sedang memperincikan susun atur peniaga, namun yang pasti keputusan ini akan memberikan kelegaan kepada semua pihak kerana dapat menjalankan perniagaan di kawasan lebih luas dan selesa.

“Penempatan hanya membabitkan mereka yang memohon lesen untuk berniaga pada Ramadan manakala peniaga sedia ada dikekalkan di tapak asal,” katanya.

Khalid berkata, keputusan itu juga diambil bagi menjaga kepentingan kedai Melayu di kawasan tapak lama bazar Ramadan yang mana perniagaan mereka terhalang sepanjang bazar perayaan itu berlangsung.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, beberapa individu dari Bahagian Perolehan DBKL sudah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kebocoran senarai syarikat yang berjaya memperoleh kontrak pembersihan sungai seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan secara dalaman juga diambil dan Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan 20 orang kakitangan di bahagian itu dipindahkan ke bahagian lain secara berperingkat dalam tempoh sebulan.

Khalid melahirkan kehairanan bagaimana maklumat daripada mesyuarat Lembaga Perolehan pada 25 Januari lalu itu boleh tular sehari kemudian sedangkan makluman kepada syarikat dan kontraktor yang berjaya dalam tender secara individu hanya dibuat DBKL melalui panggilan telefon.

“Ini yang dikatakan ada tangan ghaib yang cuba mengawal DBKL memandangkan tiada makluman atau paparan di mana-mana tempat awam dibuat mengenai keputusan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:27 PM