ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyita rumah kongsi pekerja lombong emas. FOTO Mohd Rafi Mamat.
ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyita rumah kongsi pekerja lombong emas. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


TUJUH warganegara asing disyaki terbabit dalam aktiviti perlombongan haram sekitar daerah ini ditahan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Lombong Daerah Hutan Lipis (Ops Lombong 4.0) bermula Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Beliau berkata, warganegara asing ditahan berasal dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar, berusia antara 26 hingga 50 tahun.

Katanya, sepanjang operasi itu JPNP memeriksa lebih 60 tapak lombong membabitkan kawasan seluas 60,000 hektar di daerah ini yang terkenal dengan pengeluaran bijih emas dan besi secara komersial.

“Kita menumpukan terhadap aktiviti perlombongan yang dilakukan dalam hutan simpan kekal, tanah kerajaan dan tanah milik individu.

“Saya berharap tindakan tegas yang dilakukan JPNP dan agensi lain dapat menyedarkan pelombong dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Ops Lombong 4.0 di Penjom Gold Mine, Lipis, hari ini.

Wan Rosdy berkata, JPNP turut menyita dua lombong emas haram yang terletak di Hutan Simpan Ulu Jelai dan tanah milik individu di mukim Cheka.

Dalam operasi sama sebanyak empat jengkaut, lima pam air dan lapan lori dirampas.

Selain itu Wan Rosdy berkata, JPNP memeriksa sebanyak 49 lesen kawasan lombong dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:45 PM